Tutup

Belum pernah berlaku kerajaan negeri disaman berkaitan tanah Orang Asli - MB Kelantan

Belum pernah berlaku kerajaan negeri disaman berkaitan tanah Orang Asli - MB Kelantan
Ahmad (dua dari kiri) menerima kunjungan hormat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (tiga dari kiri) di Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berkata belum pernah berlaku dalam sejarah sebuah kerajaan negeri disaman oleh kerajaan Persekutuan kerana Tanah Adat Orang Asli di pedalaman Kelantan.

Katanya Kerajaan Negeri bagaimana pun bersedia menerima apa jua tindakan dari Kerajaan Persekutuan berhubung soal Tanah Adat Orang Asli.

Beliau memaklumkan sehingga hari ini, pihaknya belum menerima sebarang dokumen atau writ saman yang dihantar secara rasmi oleh kerajaan Persekutuan.

Namun katanya, sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan Negeri perlu diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, AMK.
“Saman kita tunggu dokumen dari AG (Peguam Negara) apa isinya,  apa tujuannya secara rasmi belum terima kita dengar dari akhbar tak dapat lagi,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika di minta mengulas tindakan Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan prosiding mahkamah mewakili masyarakat Orang Asli terhadap Kerajaan Negeri Kelantan berhubung tanah adat Pos Simpor, Gua Musang.
Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, hal itu susulan kerajaan negeri dan beberapa agensinya baru-baru ini mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta.

Beliau menjelaskan, syarikat terlibat telah memasuki Tanah Adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor menggunakan jentera berat dan menebang hutan serta membawa keluar kayu balak.

Orang Asli Temiar dinafikan tanah adat dan sumber mereka sekali gus menyebabkan hakisan, pencemaran dan kemusnahan teruk terhadap sistem ekologi dan landskap hutan.

Ahmad menjelaskan, kerajaan negeri sebelum ini telah memberikan geran dan merizabkan kawasan penempatan, kawasan rayau Orang Asli sekaligus turut menjaga kebajikan Orang Asli di beberapa pos Orang Asli di pedalaman Kelantan mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara.

Terdahulu dalam pertemuan dengan Zuraida, Ahmad memaklumkan soal tanah untuk projek Perumahan Rakyat, PPR dan pengurusan sampah menjadi agenda perbincangan antara beliau dan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


Tag: Menteri Besar, Gua Musang, Peguam Negara, saman, rakyat, orang asli, mahkamah, Menteri Besar Kelantan, anah Adat Orang Asli, Ahmad Yaakob, Tommy Thomas



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.