Ahli PAS yang menganggotai Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) atau mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) dibenarkan bertanding pada pemilihan parti itu Jun nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi berkata ahli-ahli parti bebas untuk menyertai mana-mana NGO dan layak bertanding jika mendapat cukup pencalonan.

"Peraturan (parti) tidak menghalang mana-mana ahli PAS yang menganggotai mana-mana NGO untuk bertanding.

"Ahli PAS boleh terlibat bersama NGO, seperti PasMa, Abim dan lain-lain.

"Saya bercakap ini secara umum, bukan hanya merujuk sahaja kepada PasMa sahaja.

"Setakat ini tiada sebarang larangan dikeluarkan," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Sebelum ini, Majlis Syura Ulama PAS mengeluarkan arahan melarang ahli-ahli parti menyertai PasMa yang ditubuhkan pada Ogos tahun lalu.

Pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat, Dewan pemuda, muslimat dan ulama dijadualkan berlangsung di Muktamar PAS ke-61 pada 4-6 Jun nanti di Selangor.

Ramai menjangkakan pemilihan kali ini bakal menjadi yang paling hangat ekoran beberapa isu yang timbul yang menampakkan bibit perpecahan dalam parti Islam itu.

Pemilihan kali ini juga dikatakan bakal menentukan halatuju PAS sama ada kekal dalam Pakatan Rakyat atau memilih haluan lain.

Sebanyak 27 jawatan peringkat pusat dipertandingkan, sementara itu bagi kawasan sebanyak 24 jawatan dipertandingkan.

Tarikh tutup untuk pencalonan peringkat pusat adalah pada 30 April ini.