KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju mengubah hari kelepasan am atau cuti peristiwa yang diumumkan sebelum ini pada 5 Mei, Khamis kepada 4 Mei iaitu Rabu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memaklumkan perubahan tarikh cuti peristiwa itu dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri 2022 jatuh pada Isnin, 2 Mei.

"Ia dari tarikh asal 5 Mei iaitu Khamis diubah kepada 4 Mei iaitu Rabu," katanya menerusi satu kenyataan media, sebentar tadi.

Terdahulu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah mengisytiharkan bahawa Umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 2 Mei, esok.

BACA: Umat Islam di Malaysia sambut Aidilfitri esok

Susulan pengumuman yang disifatkan di luar jangkaan oleh Umat Islam seluruh negara, masih ramai perantauan yang dalam perjalanan pulang atau baru memulakan perjalanan pulang dari ibu negara malam ini.

Laluan masuk ke Kelantan di pintu masuk Gua Musang khasnya menyaksikan pertambahan kenderaan pada awal pagi hingga ke waktu petang.

Jangkaan jumlah kenderaan masuk menggunakan laluan tersebut terus meningkat pada malam hingga awal pagi bakal mengundang kesesakan di laluan Gua Musang- Kuala Krai-Kota Bharu pada malam ini.

Peningkatan jumlah kenderaan di laluan Besut-Pasir Puteh dan juga laluan Gerik-Jeli juga dilaporkan berlaku di kedua dua pintu masuk ke Kelantan itu.