KUALA TERENGGANU:Jumlah mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 520 orang pada malam ini, berbanding 685 mangsa pada sebelah pagi tadi.

Sehingga jam 7 malam, beberapa kawasan di enam daerah masih terjejas dengan 20 pusat pemindahan masih dibuka bagi menempatkan 130 keluarga.

Penurunan itu juga menyaksikan sebuah pusat pemindahan di daerah Besut yang menempatkan 10 mangsa semalam telah ditutup petang tadi.

Dalam pada itu, jumlah mangsa di Setiu juga menunjukkan penurunan mendadak di mana hanya 15 mangsa masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan berbanding 125 mangsa yang dipindahkan semalam.

Ketua Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata bagaimanapun bilangan mangsa di daerah Kuala Nerus masih kekal iaitu seramai 180 orang membabitkan 41 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan.

"Jumlah mangsa di daerah Dungun terus meningkat di mana seramai 144 mangsa masih ditempatkan di tujuh pusat pemindahan berbanding 131 mangsa pada pagi tadi.

"Di marang sebanyak tiga pusat pemindahan telah diaktifkan bagi menempatkan 102 mangsa melibatkan 25 keluarga," katanya di sini, malam ini.

Sementara itu, mangsa banjir di Kuala Terengganu juga kekal seramai 61 orang dan Kemaman (18).