Seramai 13 kakitangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) didenda RM1,000 hingga RM1,800 pada Khamis kerana membuat tuntutan palsu bayaran sewa hotel dan perjalanan dalam negeri.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Jamaludin Mat selepas semua tertuduh yang terdiri daripada penolong pegawai pertanian serta pembantu tadbir mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Semua tertuduh yang berusia antara 28 hingga 49 tahun yang bertugas di RISDA Kemaman itu turut berdepan hukuman penjara antara lima dan enam bulan jika gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, mereka yang masing-masing berjawatan Gred N11 hingga Gred G32 dan W32 didakwa membuat tuntutan palsu berhubung bayaran sewa hotel dan perjalanan dalam negeri serta kesalahan pemalsuan bernilai antara RM20 hingga RM380.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat RISDA Kemaman sekitar Mac dan April 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama.

Manakala seorang lagi kakitangan RISDA, Nik Hafiza Nik Hassan, 42, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membabitkan tuntutan palsu bernilai RM85 sebelum mahkamah menetapkan 19 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Yasmin Salleh.

Sementara itu, Jamaludin dalam penghakimannya turut menasihatkan semua tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama dan bertaubat dengan apa yang telah dilakukan.

Menurutnya, walaupun kesalahan itu melibatkan jumlah yang kecil namun ia membabitkan integriti dan sebagai ibu atau bapa, mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak.

Dalam pada itu, di mahkamah sama, seorang pemilik resort, Esa Suleiman Angullia, 59, didenda RM6,000 atas pertuduhan bersubahat apabila menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu resit resort berkenaan bertarikh 28 Mac di sebuah resort di Marang.

Astro AWANI pada Rabu melaporkan 11 kakitangan RISDA dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Rabu kerana membuat tuntutan palsu bayaran hotel dan elaun perjalanan dalam negeri antara RM20 hingga RM380.

Semua mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Noriah Osman.

Bagaimanapun, Noriah menangguhkan keputusan hukuman sehingga Khamis dan membenarkan semua tertuduh termasuk empat wanita itu, diikat jamin antara RM2,000 hingga RM3,000 setiap seorang.