Pasar Komuniti Stutong kembali dibuka selepas dua minggu ditutup berikutan tujuh kes peniaga positif COVID-19.

Tinjauan Astro AWANI di pasar berkenaan mendapati garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) dilaksana dengan pemantauan ketat secara harian oleh pihak penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Seawal jam 6 pagi, peniaga diarahkan untuk menjalani saringan suhu kesihatan. Sekiranya didapati bergejala, mereka akan diarahkan untuk pulang dan tidak dibenarkan berniaga.

“Kalau masuk sini perlu diimbas sebelum dibenarkan berniaga.

"Penjarakan fizikal satu meter juga perlu dipraktikkan," kata Jenny Law, salah seorang peniaga di pasar berkenaan.

Pihak MBKS turut mengedarkan risalah berkenaan kebiasaan baharu yang perlu dipatuhi oleh pengunjung dan penjaja, selain mengamalkan SOP seperti pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan media pada Ahad meletakkan Kluster Pasar Komuniti Stutong di bawah kategori kluster masih aktif COVID-19 dengan tujuh kes positif direkodkan.

Baca: Kluster Stutong, kluster terbaharu di Sarawak