PERINTAH Kawalan Perjalanan (PKP) yang masih berkuat kuasa menghampakan harapan seorang bapa di Singapura untuk berada di sisi ibu waktu kelahiran bayi mereka di Malaysia.

Itu nasib jurutera Ahmad Abdillah Haron, 34, yang berasa terkilan gagal menyambut dan mengazankan anak ketiga yang baru seminggu lahir dan diberi nama Aisyah Soffya Az Zahra.

Menurut laporan portal berita FMT News, Ahmad sedang berusaha berbagai cara untuk mendapat kelonggaran perjalanan dari Singapura ke Malaysia pada waktu PKP belum ada tanda tamat.

Ahmad, warganegara Singapura berkahwin dengan warga Malaysia dan menetap sekeluarga di Iskandar Puteri, Johor.

Mereka sekeluarga bergerak ke Singapura pada Mac 17 setelah PKP diumumkan akan berkuat kuasa pada keesokan hari.

Oleh kerana keadaan di Tambak Johor pada waktu itu terlalu sesak dan amat tidak selesa bagi isterinya yang mengandung, Ahmad berpatah balik pulang ke Iskandar Puteri.

Keesokan harinya, Ahmad bertolak ke Singapura untuk bekerja seperti biasa dengan harapan PKP hanya akan berlangsung buat sementara. Masalah timbul apabila PKP disambung hingga 12 Mei tanpa sebarang kelonggaran bagi seorang suami warga Singapura untuk berulang-alik ke Johor seperti biasa.

“Saya pasti akan tinggal di Johor sekiranya saya tahu tempoh PKP akan dilanjutkan,” katanya.

Menurut Jabatan Imigeresen, rakyat Singapura diberi kemudahan melawat Malaysia menggunakan pas sosial jangka panjang (long-term social pass) yang memakan masa enam hingga 12 bulan untuk kelulusan.

Visa ini akan memberi pemegangnya kebenaran untuk menetap di Malaysia untuk jangka masa tidak kurang dari enam bulan. Selama ini, Ahmad hanya menggunakan pas lawatan sosial 30-hari yang memadai untuk tujuan ulang alik dalam suasana tanpa PKP yang berpanjangan.

Ahmad sudah mencuba menarik perhatian Perdana Menteri Malaysia untuk merayu melalui laman FB tetapi masih menunggu maklum balas.

Ahmad dan isterinya turut mempunyai dua anak lelaki berumur 10 dan satu tahun.

Menurut Ahmad, terdapat banyak kes serupa di mana warga Singapura yang berkahwin dengan rakyat Malaysia terpaksa berpisah akibat peraturan PKP. Ahmad berharap pihak berkuasa kedua-dua negara mencari penyelesaian agar masalah ini dapat diatasi.