SHAH ALAM:Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengeluarkan arahan penutupan Pasar Awam Banting selama 10 hari bermula hari ini untuk memberi laluan kepada pelaksanaan proses sanitasi dan ujian saringan kontak pesakit positif COVID-19.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata arahan itu dikeluarkan berikutan beberapa ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dikesan di premis berkenaan iaitu tiada penjarakan fizikal, tiada rekod proses sanitasi tiga kali sehari dan tiada rekod saringan terhadap pekerja.

"Sebanyak 25 kes positif COVID-19 telah dikesan berkaitan dengan pasar ini dan 43 kontak rapat iaitu keluarga pesakit juga telah disaring.

"Dengan penutupan pasar awam itu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat akan melakukan ujian saringan COVID-19 terhadap kesemua 101 peniaga pada Khamis ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim dalam satu kenyataan memaklumkan proses sanitasi awam akan dilakukan pihaknya dan PKD Kuala Langat sepanjang penutupan pasar awam berkenaan, dan beliau menyeru orang awam supaya memberikan kerjasama.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai notis penutupan pasar awam berkenaan mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

-- BERNAMA