Tutup

Dasar luar, perniagaan Malaysia jadi fokus korporat AS - Tun M

Dasar luar, perniagaan Malaysia jadi fokus korporat AS - Tun M
Dr Mahathir ketika bercakap dengan media Malaysia di New York pada Sabtu. - fotoBERNAMA
NEW YORK: Isu dasar luar dan perniagaan kerajaan Malaysia Baharu menjadi antara fokus pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama beberapa syarikat korporat di sini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia kekal dengan prinsip dasar luar iaitu berbaik-baik dengan semua negara.

Jelasnya, para usahawan di Amerika Syarikat juga kagum dengan kejayaan Malaysia berunding dengan China dalam beberapa kontrak yang ditandatangani.

"Umumnya mereka ingin tahu keadaan di Malaysia dan juga dasar-dasar kita. Saya dapat jelaskan bahawa kita masih lagi memegang kepada dasar luar negeri iaitu berbaik dengan semua negara.
"Mereka juga bertanya berkenaan pendapat kita mengenai China. Nampaknya, mereka kagum dengan kebolehan kita kurangkan kos Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebanyak RM20 bilion," katanya pada sidang media Malaysia di sini pada Sabtu.

Dr Mahathir berada di New York dari 24 hingga 28 Sept bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) Sesi ke-74.
Ujarnya, kejayaan Malaysia berunding dengan China kini menjadi satu galakan kepada negara yang berdepan situasi sama, sekali gus mengurangkan hutang mereka.

Pada lawatan kerja lima hari beliau ke Amerika Syarikat ini, beliau bertemu dengan beberapa syarikat korporat termasuk Motorola dan Google LLC selain menghadiri mesyuarat bersama Anggota Majlis Hubungan Luar (CFR), JP Morgan, Majlis Perniagaan AS-ASEAN dan Dewan Perniagaan AS.