Protes dan demonstrasi bantahan mengenai retifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hanya akan menganggu proses konsultasi mengenai konvensyen itu.

Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon berkata, perbincangan dan forum mengenai retifikasi ICERD adalah lebih baik daripada mengadakan demonstrasi bantahan.

"Forum merupakan pentas dan wadah terbaik kepada pemimpin dan rakyat untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan lebih mendalam serta boleh memberi pandangan melalui komunikasi dua hala.

"Bukan dengan lakukan demonstrasi dan buat bising, forum merupakan proses untuk mendapatkan pengetahuan dan pendapat," katanya ketika ucaptama selepas merasmikan forum 'Apa Perlunya ICERD untuk Malaysia' di Universiti Islam Malaysia (UIA) di sini, pada Khamis.

Turut hadir, ADUN Permatang Pasir Faiz Fadzil, penulis dan penganalisa politik, Hasmi Hashim; aktivis Hishamuddin Rais dan Setiausaha Liga Pemuda Malaysia, Amir Abd Hadi.

BACA: Akan ada sesi libat urus berkenaan ICERD - Waytha Moorthy

Sebelum ini, UMNO dan PAS merancang untuk mengadakan perhimpunan mega membantah cadangan ratifikasi ICERD pada 8 Dis ini.

BACA: ICERD agenda Freemason untuk hancurkan negara - Hadi

Mengulas lanjut, Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR itu juga menyatakan kerajaan tidak terburu-buru dalam membuat keputusan mengenai ratifikasi ICERD.

"Semua aspek perlu dipertimbangkan dan kita dengar semua pihak melalui perbincangan, tiba-tiba ada pihak memilih untuk nak buat bising, jadi ini hanya akan mengganggu proses konsultasi dan perbincangan," jelas Rashid sambil mengingatkan kembali saranan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar diberi ruang untuk perbincangan ratifikasi ICERD.

Isu mengenai ratifikasi ICERD kini hangat diperbincangkan di semua peringkat lapisan masyarakat kerana dilihat boleh menghakis kedudukan istimewa kaum Bumiputera, agama Islam dan kedudukan raja-raja Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ahad lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pelaksanaan ICERD, sekiranya dibuat, akan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan perkara itu hampir mustahil untuk dilakukan, tambahan pula memerlukan persetujuan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.

Soal sama ada Malaysia perlu meratifikasi ICERD telah mendapat bantahan daripada sebilangan wakil rakyat pembangkang dan kerajaan serta badan-badan bukan kerajaan kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan perkara-perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy sebelum ini berkata pihaknya akan mengadakan rundingan dan mendapatkan makluman balas orang ramai pada Januari depan berhubung meratifikasi ICERD.