Seorang doktor didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua pertuduhan memperdayakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kononnya telah melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap dua individu bagi memperbaharui Lesen Vokasional (JPJ L8) mereka pada Februari lalu.

Tertuduh, S.P Samuel Kumar bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh telah cuba untuk memperdayakan JPJ untuk mempercayai bahawa dia telah melakukan pemeriksaan kesihatan secara fizikal terhadap dua individu terbabit melalui borang permohonan JPJ L8.

Tindakan tertuduh dilihat dengan sengaja telah cuba mendorong jabatan tersebut untuk memproses permohonan bagi memperbaharui lesen vokasional berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah klinik di Parit Buntar antara jam 10.15 pagi hingga jam 2.20 petang, pada 14 Februari lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut seksyen 415 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 28(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang mana boleh dihukum di bawah seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan selain mengarahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Sudesh Singh.

Mahkamah turut menetapkan 14 Jun untuk sebutan semula kes.