Dua maut selepas tercampak keluar dari kenderaan manakala dua lagi cedera dalam nahas jalan raya yang berlaku di jalan Kamunting Lama berhampiran kem Sangro pada awal pagi Selasa.

Dalam kejadian sekitar 5.40 pagi itu, S Yugendran, 27, dan M Kalidasan, 25, tercampak keluar dari kenderaan jenis Proton Saga dan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata kemalangan tersebut membabitkan sebuah lagi kenderaan jenis Audi A5 yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 47 tahun.

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Kamunting Lama. - Taiping Zone

"Kenderaan Audi itu menghala ke Taiping Lake Garden dari arah Batu Kurau, sebelum Proton Saga yang membawa mangsa datang dari arah bertentangan dan memasuki laluan kenderaan itu.

"Audi itu gagal mengelak dan melanggar sisi kiri Saga berkenaan menyebabkan dua mangsa tercampak keluar dari kereta dan maut di tempat kejadian," katanya kepada pemberita.

Harrith berkata kemalangan tersebut turut menyebabkan pemandu Saga mengalami kecederaan di bahagian kepala dan pemandu Audi luka ringan di bahagian tangan kanan.

Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Taiping bagi tujuan bedah siasat.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.