Dua sahabat nyaris maut apabila kereta mereka naiki merempuh sebuah lori yang membawa muatan 2,000 ekor ayam hidup di Kilometer 82, Jalan Jerangau-Jabor, Dungun awal pagi Sabtu.

Kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu berlaku apabila kereta jenis Proton Iswara yang dipandu salah seorang mangsa dikatakan keluar dari persimpangan secara tiba-tiba.

Kedua-dua sahabat yang berusia lingkungan 20-an itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Bandar Al Mukhtafi Billah Shah selepas makan malam.

Manakala lori terbabit yang datang dari arah Kuala Terengganu cuba mengelak tetap bahagian belakang dirempuh kereta terbabit lalu terbalik selain terseret beberapa meter.


Kereta mangsa merempuh lori yang membawa muatan 2,000 ekor ayam.

Pemandu Proton Iswara itu mengalami patah peha kiri manakala rakannya parah di kepala. Bagaimanapun pemandu lori hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, mangsa yang cedera dikejarkan untuk mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Dungun.