Mencuri pakaian dan pelbagai peralatan pengantin sebelum disewakan kepada pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan.

Bagaimanapun kegiatan sepasang suami isteri dan sepasang kekasih itu terbongkar selepas mereka ditahan polis dalam satu operasi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pasangan terbabit disyaki mencuri kesemua peralatan tersebut dari sebuah butik pengantin yang dipecah masuk di Lorong Seri Merbau, Sungai Dua, Butterworth pada Julai lalu.

Menurut Noorzainy, pihaknya menerima laporan daripada pengadu pada 7 Julai lalu berhubung kehilangan pakaian dan pelbagai peralatan pengantin selepas butiknya dipecah masuk.

Ini merupakan pakaian pengantin yang dicuri kemudiannya disewakan.

Katanya, anggota polis Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara yang menjalankan tugas Op Pintu semalam kemudiannya berjaya menahan kesemua suspek di tiga lokasi berasingan.

Dalam operasi jam 12.30 tengahari itu, polis turut merampas pakaian pengantin yang dianggarkan bernilai RM16,000 ringgit.

Hasil siasatan mendapati kesemua suspek berusia antara berusia antara 20 hingga 39 tahun itu menjalankan perniagaan juruhias pengantin di rumah dan tidak mempunyai butik.

Kelengkapan seperti tengkolok yang dicuri suspek.

Keempat-empat suspek kemudiannya dibawah ke mahkamah untuk direman pada Selasa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Hasil pemeriksaan rekod kesalahan lalu dapati kesemua suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.

Kesemua suspek kini ditahan reman empat hari bermula Selasa.