Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dinaikkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Jaminan Timbalan Perdana Menteri itu dibuat memandangkan hasil pendapatan negara kini pada kadar enam peratus dan dividen daripada Petronas mencukupi untuk menampung belanjawan negara serta manifesto Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, pada kadar enam peratus, kerajaan memperolehi lebih RM 40 bilion dan kenaikan gaji tahunan tidak mengambil kira daripada GST.

"Melihat bahawa pendapatan negara daripada hasil minyak melalui dividen yang diperolehi daripada Petronas tentunya mampu untuk bukan hanya pelaksanaan kepada projek-projek di dalam manifesto BN tetapi juga kepada pengumuman kenaikan gaji tahunan yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan walkabout sekitar Hutan Melintang, Perak hari ini.

Ahmad Zahid berkata, terdapat usaha untuk mengelirukan rakyat kononnya kadar GST akan dinaikkan selepas PRU14.

Menurutnya, perkara itu disifatkan sebagai fitnah untuk merosakkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan dan pemimpin negara.