Seramai 52 remaja dipercayai terbabit dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap Geng 24 dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan terlibat dalam perhimpunan haram di sekitar daerah ini bulan lepas.

Tiga daripada mereka yang berumur 15 dan 17 tahun mengaku bersalah manakala 49 yang lain berusia antara 15 dan 18 tahun minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Enam daripada mereka menghadapi dua pertuduhan berikutan didakwa melakukan kesalahan itu di dua lokasi berasingan.

Prosiding di hadapan Majistret Nor Asma Ahmad dijalankan secara tertutup selama sejam.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama individu lain yang masih bebas terlibat dalam satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang, seperti yang dipaparkan dalam satu video perhimpunan upacara pemotongan kek dihiasi angka 24.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Andalas dan SMK Kampung Jawa, di SMK Raja Mahadi dan di belakang Sekolah Kebangsaan Simpang Lima, pada 20 dan 21 April lepas, antara 12.30 tengah hari dan 1.15 petang.

Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Majistret Nor Asma membenarkan kesemua remaja terbabit dibebaskan dengan jaminan antara RM800 dan RM1,000 serta seorang penjamin setiap seorang.

Beliau turut menetapkan 6 Julai depan untuk sebutan dan jatuh hukum.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syed Farif Syed Ali sementara pihak pembelaan diwakili peguam Gerard Lazarus, Dinesh Muthal, V. Muniandy, S. K. Pari dan Dev Anand.

Media sebelum ini melaporkan pada 20 April lepas, dua video memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai anggota Geng 24 menimbulkan kekecohan di luar sebuah sekolah di Klang, menjadi tular dalam media sosial.

Susulan itu, polis membuat beberapa siri tangkapan bermula 21 April lepas bagi menjejaki anggota geng kongsi gelap berkenaan.

-- BERNAMA