Syarikat milik kerajaan (GLC) dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) perlu memberi lebih perhatian kepada agensi media cetak dan tradisional dalam pembelian pengiklanan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia susulan cabaran yang diterima selepas kehadiran media sosial yang menenggelamkan kewujudan media tradisional.

"Saya menyeru agar syarikat yang mempunyai kaitan dengan kerajaan, GLC, atau syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan dapat membantu media ini kerana mereka tidak boleh mengharapkan kepada pembelian atau lain-lain kaedah pendapatan. Mereka bergantung kepada pengiklanan," katanya semasa melancarkan Pameran BH Khas Hari Kebangsaan di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari dan Pengerusi Media Prima Berhad Tan Sri Ismee Ismail.

Dalam pada itu kata Ahmad Zahid, pengamal media perlu mengutamakan etika kewartawanan dan nilai pemberitaan selain menentukan penentuan agenda dalam setiap pemberitaan.

"Penentuan agenda dibuat seseorang, apa yang dilakukan itu sebenarnya bergantung kepada pemilik media itu sendiri. Dalam hal ini kebebasan akhbar diterjemah dengan lebih baik dan ditentukan lebih awal.

"Tata etika kewartawanan juga perlu dijaga dengan baik. Penjagaan ini tercetus dalam agenda media juga penentuan agenda dalam media cetak dan elektronik," ujarnya.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut melancarkan buku coffee table BH bertajuk 'BH, enam dekad kekal dinamik'.

Buku setebal 216 halaman itu menceritakan rentetan sejarah penubuhan BH atau dahulunya dikenali sebagai Berita Harian yang bermula dengan penerbitan akhbar pada 1 Julai 1957 sehingga kini yang menuju ke arah berita digital.