KUALA LUMPUR: Kerajaan disyorkan menubuhkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meneroka industri berkaitan unsur nadir bumi (REE) di negara ini.

Semasa mencadangkan perkara berkenaan, Datuk Larry Sng (PBM-Julau) berkata GLC berkenaan boleh menjadi pengawal selia industri berkenaan.

"Kita perlu menubuhkan GLC untuk sektor ini seperti Petronas yang mengawasi industri petroleum negara," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Isnin.

Katanya, industri yang dikawal selia penting bagi mengelakkan eksploitasi.

Tahun lalu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri berhubung pembangunan kerangka unsur nadir bumi dalam negara.

Tumpuan perbincangan itu turut mengambil kira kawasan berpotensi untuk diteroka tanpa mengganggu ekosistem hutan simpan kekal serta aspek pemprosesan yang perlu dibuat dalam negara.

Nik Nazmi berkata ini berikutan 80 peratus kawasan yang berpotensi mengandungi REE dan nadir bumi bukan radio aktif (NR-REE) berada di luar kawasan hutan simpan kekal.

Beliau juga berkata kerajaan negeri dibenarkan membuat penerokaan awal REE berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk perlombongan nadir bumi dan mineral.

Malaysia dianggarkan memiliki NR-REE berjumlah 16.1 juta tan dengan nilai pasaran sebanyak RM809.6 bilion.

-- BERNAMA