SHAH ALAM:Pemilik akaun Facebook Ibu Yati yang didakwa terbabit dengan ajaran sesat bertemu dengan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selama lebih tiga jam di Bangunan Sultan Idris Shah di sini, hari ini.

Ibu Yati atau nama sebenarnya Wan Noorhayati Wan Alias, bersama seorang rakannya yang turut dipanggil JAIS, tiba di Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan jabatan itu pada jam 10.21 pagi dan dilihat keluar kira-kira jam 2 petang.

Ditemui media, Wan Noorhayati berkata, seorang lagi individu iaitu bekas pensyarah sebuah universiti tempatan, yang sepatutnya hadir bersama mereka bagaimanapun tidak dapat berbuat demikian disebabkan masalah kesihatan.

Katanya, JAIS akan datang ke kediamannya untuk melengkapkan proses memberi penjelasan berkaitan isu berkenaan.

"Sesi (memberi penjelasan) hari ini berjalan lancar dan saya diberikan layanan baik oleh pegawai JAIS yang bertugas. JAIS baru hendak meneliti jika ada apa-apa (tindakan atau amalan) yang bercanggah daripada akidah.

"Menurut JAIS saya dipanggil kerana sudah ada kenyataan daripada pihak Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengatakan sesat dan sekarang baru hendak mencari punca dakwaan itu,” katanya ketika ditemui selepas keluar dari pejabat JAIS di sini, hari ini.

Wan Noorhayati mendakwa, antara perkara yang akan diperhalusi oleh JAIS adalah persoalan yang dilontarkan oleh Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan termasuk dakwaan dia membuat lafaz syahadah baharu, agama Melayu, ajaran Ibu Yati dan agama Islam baharu.

Katanya, dia juga memohon JAIS untuk mengemukakan soalan yang kemudiannya akan dijawab secara bertulis olehnya dan bersedia untuk dipanggil semula jika diperlukan.

BACA: JAIS panggil Ibu Yati beri keterangan isu dakwaan ajaran sesat

BACA: Siasatan ke atas ajaran 'agama Melayu' kini di peringkat akhir - Ahmad Marzuk

Sebelum ini, Nasrudin dilaporkan menasihatkan agar orang ramai tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu yang didakwa dibawa individu dikenali sebagai Ibu Yati, yang turut didakwanya menggunakan lafaz syahadah yang pelik.

Nasrudin turut dilaporkan berkata pihaknya tidak akan mengemukakan permohonan maaf kepada Ibu Yati susulan laporan polis yang dibuat wanita itu yang memberi Nasrudin tempoh tujuh hari untuk mengemukakan permohonan maaf kepadanya atas dakwaan yang dibuat Yadim.

Mengulas lanjut, Wan Noorhayati mendakwa, tiada isu pelanggaran akidah atau kewujudan ajaran agama baharu seperti yang diperkatakan, sebaliknya apa yang dikongsikannya adalah mengenai sejarah Melayu yang dilupakan.

“Orang salah tafsir tentang sejarah agama Melayu yang saya ceritakan dan berkaitan dengan kitab yang berusia beribu tahun.

"Maklumat itu sebenarnya ada di muzium England. Pakar-pakar sejarah ada memohon peruntukan kitab-kitab Melayu dan bahan-bahan sejarah Melayu dari seluruh dunia, tetapi disebabkan kekangan kewangan ia tidak mampu dilakukan," dakwanya.