SHAH ALAM: Masih terdapat pentadbir masjid dan surau di Selangor yang didapati mengambil ringan dengan membiarkan atau membenarkan ahli politik menggunakan kawasan rumah ibadat untuk berpolitik selain membiarkan bahan penerbitan berunsur politik disebar di kawasan institusi keagamaan berkenaan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata perbuatan itu telah melanggar ketetapan yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi mengekalkan masjid dan surau sebagai zon aman serta bebas daripada sebarang elemen atau pengaruh politik.

"Tindakan pihak tertentu yang mengambil kesempatan menjelang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan mengedar bahan bercetak berunsur politik dan berpolitik di masjid atau surau adalah suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan melanggar titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah serta ketetapan MAIS," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis

Katanya, Sultan Selangor sejak 2018 telah bertitah mengingatkan agar masjid atau surau menjadi tempat beribadat yang aman dan sejahtera serta tidak dipolitikkan.

Beliau berkata sebarang tindakan yang bersifat menghina, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atau arahan MAIS boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

"Pegawai masjid yang terlibat juga boleh dikenakan tindakan dan dibatalkan pelantikannya oleh MAIS berdasarkan Peraturan 7 (f), Peraturan-Peraturan Masjid Dan Surau (Negeri Selangor) 2017," katanya.

-- BERNAMA