Jabatan Bomba dan Penyelamat menafikan bahawa kebakaran di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru berpunca dari telefon bimbit yang sedang dicas seperti mana diviralkan sebelum ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Johor, Mohd Rizal Buang menegaskan, masih terlalu awal untuk mengesahkan punca kebakaran kerana siasatan masih dijalankan.

Katanya, pasukan siasatan pada hari ketiga di HSA mempunyai dua tugasan, iaitu pergi ke lokasi kejadian untuk mendapatkan bukti dan dibawa ke makmal, selain merekod dan menemubual saksi kejadian.

“Saya sendiri yang mengetuai operasi tersebut, jadi daripada saksi yang memberitahu kebakaran tersebut berpunca daripada bilik rawatan. Kalau kita tengok bilik rawatan tersebut, cuma ada peti ais yang menempatkan ubat-ubatan dan itu sahaja.

“Yang kita nampak di lokasi tersebut, tiada seperti yang dikatakan iaitu mengecas bateri,” katanya kepada pemberita.

Pada masa sama, beliau menyarankan agar setiap bangunan, terutama bangunan lama supaya membuat pemeriksaan terhadap tahap keselamatan, selain menaiktaraf sistem keselamatan.

“Dalam mesyuarat peringkat daerah kita dah sarankan supaya bangunan lama dinaik taraf menggunakan bahan yang tidak mudah terbakar dan boleh kita pasang dengan alat keselamatan kebakaran sama ada sistem pasif atau aktif dalam bangunan tersebut,” kata Mohd Rizal.

Sebelum ini, dakwaan yang mengatakan bahawa insiden kebakaran di wad ICU HSA berpunca daripada telefon bimbit yang sedang dicas menjadi viral di laman media sosial.