Identiti warga Malaysia yang ditemui mati di Kabul, Afghanistan semalam telah disahkan oleh pihak berkuasa negara itu, kata Kementerian Luar hari ini.

Dalam satu kenyataan di sini, Wisma Putra berkata majikan mangsa, Sodexo iaitu syarikat Perancis yang berpangkalan di Afghanistan, telah memaklumkan perkara itu kepada anak mangsa yang menetap di Filipina.

"Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sedang bekerjasama rapat dengan majikan mangsa bagi menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya," demikian menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa.

Sebelum ini dilaporkan seorang rakyat Malaysia berusia 64 tahun serta dua lagi warga asing - rakyat India dan Macedonia - yang bekerja dengan syarikat pembekal makanan dan katering kedua terbesar di dunia, Sodexo, diculik dan dibunuh oleh kumpulan bersenjata yang tidak diketahui identiti mereka.

Mayat mereka ditemui di Mussahi (33 km di selatan Kabul). Tiada kumpulan mendakwa bertanggungjawab terhadap insiden tersebut. - BERNAMA