Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat terlalu mempromosikan parti Barisan Nasional dalam pembentangan Bajet 2017, kata Ketua Penerangan PAS.

Nasrudin Hassan berkata tindakan memaparkan lambang logo BN di skrin besar dalam Parlimen ketika pembentangan Bajet di Dewan Rakyat semalam merupakan satu langkah terdesak.

Jelasnya, beliau kesal dengan tindakan promosi Najib itu dan berharap BN menghormati ahli Parlimen dari sayap Pembangkang.

BAJET 2017: UCAPAN PENUH PM NAJIB


BACA; LAPOR LANGSUNG: PEMBENTANGAN BAJET 2017 OLEH PM NAJIB


"Logo dacing bukan menggambarkan logo Kerajaan, Ia logo parti. Bajet 2017 bukan bajet BN tetapi ia adalah Bajet Kerajaan.

"Maka tiada sebab kenapa logo dacing (logo BN) di pertonton sebesar-besarnya di skrin besar Parlimen,"katanya dalam satu kenyataan sebagai reaksi kepada pembentangan Bajet 2017 pada Jumaat.

Beliau juga berkata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia perlu bertegas dalam mengawal bahan-bahan yang boleh dipaparkan dalam pembentangan demi menjaga kemuliaan Dewan Rakyat.

"Seharusnya mana-mana bahan yang tidak berkaitan dengan pembentangan mesti mendapat kebenaran Sekretariat Parlimen.

"Kalau tidak ianya adalah salah guna kuasa eksekutif ke atas parlimen," tambah beliau.

Nasruddin juga berharap tindakan mempromosikan BN dalam pembentangan tidak akan berulang lagi di masa hadapan.