Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, mengkritik lawannya dari Barisan Nasional (BN) yang didakwa gagal menunaikan janji Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Muhammad Bakhtiar mendakwa Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya gagal menyediakan hospital bertaraf tinggi di Balik Pulau seperti yang dijanjikan walaupun memegang jawatan Timbalan Menteri Kesihatan.

"Dr Hilmi merupakan Timbalan Menteri Kesihatan dan mereka telah menjanjikan hospital daerah bertaraf tinggi dan bukan seperti yang ada sekarang.

"Tetapi mereka gagal menunaikan janji yang dibuat pada PRU13 itu sehingga rakyat bertanya, di manakah hospital?" katanya.

Sementara itu, Dr Hilmi ketika ditemui, menolak dakwaan Muhammad Bakhtiar sambil mengakui projek menaik taraf Hospital Balik Pulau dalam fasa pembinaan.

"Dia (Muhammad Bakhtiar) tak tengok surat khabar, tak tengok televisyen. Jadi, ini masalahnya.

"Pembinaan hospital memang sedang berjalan dan pelancaran pun sudah berlangsung. Kita akan menaik taraf hospital sedia ada melibatkan pelbagai sektor, antaranya jabatan kecemasan, pesakit luar, makmal kimia dan forensik," katanya.

Dr Hilmi pada Mei tahun lalu pernah mengumumkan pembinaan hospital baharu yang mempunyai 300 katil bagi memberi perkhidmatan kepada lebih 310,000 penduduk.

Cadangan melibatkan peruntukan kira-kira RM400 juta disenaraikan dalam Rancangan Malaysia ke-11.