Kerajaan memberi jaminan sentiasa membantu kebajikan selain tidak meminggirkan komuniti India di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jaminan itu sudah terbukti berdasarkan rekod pencapaian yang dilaksanakan selama ini oleh Kerajaan.

"Sejarah kaum India dan sumbangan terhadap pembangunan menjadikan negara unik selain gandingan kuat dalam memastikan keharmonian negara berkekalan.

"Saya bangga untuk menyatakan komuniti India di Malaysia sudah berjaya dengan jaminan bahasa serta budaya mereka. Pelajar di Malaysia mempunyai peluang untuk belajar bahasa Tamil sejak pra-sekolah sehingga peringkat tertinggi.

"Sekarang terdapat 524 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil di negara ini selain sudah diterima di dalam sistem pendidikan negara. Selain itu, Kerajaan juga sudah meluluskan enam lagi SRJK Tamil," katanya semasa berucap pada Persidangan Kongu Tamilar Antarabangsa di sini hari ini.

Turut hadir Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas; Ketua Delegasi daripada Kongu Nadu, E. R. Eswaran dan Presiden Kongu Nadu Malaysia, Datuk K. Subramaniam.

Persidangan itu merupakan kali pertama diadakan di negara ini.

Kongu Nadu merupakan satu kawasan di India dan di bahagian negeri Karnataka dan Kerala selain mempunyai sejarah yang sangat panjang.

Dalam pada itu jelas Najib, banyak persamaan di antara Malaysia dan India selain menghargai persahabatan dua negara yang terjalin sejak sekian lama.

"Sejak tahun 1998, India telah menjadi destinasi eksport terbesar Malaysia selain jumlah perdagangan meningkat lebih daripada empat kali ganda. Tahun lalu, India merupakan rakan dagang kesepuluh terbesar di Malaysia.

"Beribu-ribu pekerjaan telah diwujudkan di sini dalam projek-projek pembuatan dengan penyertaan India. Ia mengesahkan komitmen kami untuk mengukuhkan lagi perdagangan dan pelaburan dua hala; untuk menggalakkan kerjasama dalam infrastruktur dan sektor pembinaan," katanya.

Pada majlis sama, Perdana Menteri diraikan bersempena sambutan hari lahir yang ke-63 yang jatuh pada hari ini bersama 10,000 komuniti Kongu Tamilar yang hadir pada persidangan itu.