KUALA LUMPUR: Penyokong-penyokong kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu 'Bossku' mendakwa tidak akan mengundi calon-calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Pengerusi Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz mendakwa, tindakan tersebut dibuat kerana keadilan terhadap Najib, yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan sehingga kini masih tidak ditegakkan, selain didakwa dipandang remeh oleh kepimpinan tertinggi UMNO.

"Pendirian DSN (Najib) pertama ialah UMNO nombor satu. Kedua, beliau pada awalnya menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Jika keadilan ini tidak dapat ditegakkan, maka kami puluhan ribu (anggaran satu negeri) yang menyokong Najib, saya beritahu kita akan 'move'.

"Maksudnya bukan keluar daripada parti (UMNO) tetapi saya (dan para penyokong) akan menyokong Perikatan Nasional (PN) supaya satu isyarat diberikan kepada Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) agar jangan lagi 'play safe' atau menangis untuk menunjukkan wajah hebat," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ketua Cawangan UMNO Kampung Melayu Batu Caves Selatan itu berkata dianggarkan seramai 300,000 penyokong Najib di peringkat akar umbi akan beralih sokongan kepada PN dalam PRN di enam negeri, pada 12 Ogos depan.

Syed Muhammad Imran menambah, jika keadaan itu berlaku, ia akan memberi kesan kepada kemenangan BN dan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya tersebut.

"Jadi kita buat satu langkah drastik dan mohon semua penyokong Najib menyokong PN supaya satu isyarat kepada UMNO bahawa kalau pandang enteng kepada Najib, kemenangan PRN ini akan diberikan kepada PN.

"Tetapi Kalau you (UMNO) buat keadilan untuk Najib sebelum PRN, mungkin keadaan itu akan berubah.

"... dan jika UMNO kalah pada PRN ini, Presiden UMNO (Ahmad Zahid) perlu letak jawatan. Ini bukan untuk meruntuhkan Kerajaan Perpaduan tetapi sebagai isyarat, jika Najib tidak dapat keadilan... ini yang akan berlaku (kekalahan)," ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau berkata para penyokong Najib turut enggan menyahut seruan Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi BN agar kumpulan itu memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan pada PRN ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam surat bertarikh 20 Februari 2023 yang dihantar kepada Ketua Hakim Negara memaklumkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali didapati melanggar Kod Etika Hakim 2009 ketika mengetuai kes SRC International Sdn Bhd melibatkan Najib.

Perkara tersebut turut disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, seperti dilapor media pada 6 April lalu.

Sebelum ini, anak lelaki Najib, Datuk Mohd Nazifuddin berkata semakin ramai penyokong bapanya kecewa dengan UMNO selepas melihat tidak ada sebarang keadilan buat Najib.

Jika keadaan itu berterusan, Ketua UMNO Bahagian Langkawi itu menjangkakan penyokong-penyokong bapanya mungkin tidak keluar mengundi pada PRN.