Ibu bapa dinasihatkan agar tidak mencari pengasuh secara dalam talian bagi menjaga anak masing-masing ketika keluar bekerja.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata mereka sebaliknya perlu memastikan pengasuh yang bakal diambil itu dikenali atau dicadangkan rakan-rakan.

“Kita minta jangan cari pengasuh online. Jangan ambil pengasuh yang kita tidak kenal. Ambil pengasuh yang di'recommend' kawan-kawan yang sudah kenal pengasuh.

"Ataupun kalau nak, mereka boleh hubungi Persatuan Pengasuh, taska berdaftar.

"Kementerian nak pastikan ibu bapa boleh terus bekerja, dan kanak-kanak selamat," katanya dalam sidang media pelancaran Infografik Senarai Semak Pengasuh di Rumah di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut mencadangkan pasar raya di seluruh negara mewujudkan taska di premis berkenaan sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

Langkah itu bagi memudahkan golongan ibu bapa yang bekerja syif dan sukar mencari pengasuh yang boleh mengikut masa bekerja mereka.

"Memang susah untuk ibu bapa yang bekerja selepas jam lima petang untuk mencari pengasuh. Oleh sebab itu disyorkan pasar raya dan sebagainya menyediakan taska di premis itu sebagai CSR mereka.

"Ini kerana apa yang berlaku ke atas kanak-kanak ada impaknya kepada ekonomi negara. Malah, ia juga beri kesan kepada produktiviti kerja ibu bapa," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, sehingga kini hampir 90 peratus taska yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Statistik pendaftaran taska JKM menunjukkan bilangan taska berdaftar hanya berjumlah 4,378 buah. Bilangan ini terlalu sedikit jika dibandingkan dengan keperluan taska di dalam negara," tambahnya.

Malah, ujar beliau, kekurangan bilangan pengasuh yang berkelayakan juga memberi kesan kepada jumlah taska yang berdaftar.

Pada 9 November lalu, bayi berusia 9 bulan, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal meninggal dunia dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya selepas pemeriksaan mendapati ada kesan koyakan pada kemaluan dan dubur mangsa.