Orang ramai diminta supaya tidak panik dengan spekulasi ancaman serangan ransomware WannaCry yang semakin berleluasa di seluruh dunia.

Menteri Sains, Teknologi dah Inovasi (Mosti), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menjelaskan setakat ini keadaan di Malaysia terkawal dan sehingga kini hanya dua laporan diterima pihak Cyber Security Malaysia (CSM).

Katanya, Mosti bersama CSM akan terus berusaha memastikan ruang siber negara sentiasa selamat daripada apa jua serangan dan ancaman siber.

“Selepas kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amiruddin Abdul Wahab, kami menerima pelbagai reaksi orang ramai dari pelbagai sektor. Reaksi tersebut bukan kerana menerima ancaman serangan siber tetapi resah dan panik.

“Orang ramai jangan panik dengan situasi ini tetapi mereka harus berwaspada dan berhati-hati dalam menjalankan kehidupan seharian ketika menggunakan komputer, internet dan aplikasinya,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membayar membayar wang tebusan bagi mendapatkan semula data mereka.

"Tidak ada jaminan bahawa data itu akan dikembalikan," katanya.

Sementara itu, pada sidang media sama, CSM menasihatkan mereka yang terjejas akibat ransomware WannaCry supaya melaporkan kejadian itu.

Ketua Pegawai Eksekutif CSM Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata ini akan membantu pihaknya menjalankan analisis teknikal dan mengesahkan ransomware yang terlibat.

Beliau berkata mereka boleh memberi nasihat dan juga cuba untuk mendapatkan semula data yang telah disulitkan jika mereka mempunyai penyahsulitan ransomware yang tertentu.

"Tidak ada caj untuk nasihat teknikal kami. Anda menolong diri anda sendiri dan lain-lain," katanya.

Beliau memberi jaminan identiti pelapor akan dirahsiakan.

Di bawah undang-undang, tidak diwajibkan untuk melapor insiden berkaitan malware atau ransomware kepada pihak berkuasa.

Amirudin berkata ransomware bukan suatu ancaman baharu sebaliknya telah wujud sejak 1986 dan menjadi semakin berleluasa sebagai ancaman siber bermula 2005.

Ia wujud dalam pelbagai nama, antaranya Cryptolocker, Cryptowall, CBT Locker, Teslacrypt dan Locky.