Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap golongan yang tidak bertanggungjawab merosakkan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Ketua pengarahnya Datuk Shahruddin Khalid berkata penubuhan jawatankuasa khas itu adalah bagi membendung kejadian sama agar tidak berulang dan membincangkan tindakan yang perlu diambil.

"Sebarang perkembangan kita akan maklumkan tahun hadapan,” katanya pada majlis penutup program MyPrihatin Parlimen Setiawangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Keramat Wangsa, di sini, hari ini.

Pada Selasa lepas, sebuah kamera AES di Kilometer 151.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara telah dirosakkan, iaitu kejadian kedua berlaku selepas sistem penguatkuasaan trafik di lokasi sama dirosakkan pada 10 Sept lepas.

Dalam pada itu, Shaharudin menepis tanggapan segelintir masyarakat bahawa AES sengaja diletakkan untuk mencari kesalahan pemandu.

"Pemasangan AES adalah bagi menggalakkan pemandu untuk memandu secara berhemah. Kami juga telah memasang papan tanda di sepanjang jalan raya bagi menunjukkan bahawa terdapat kamera pengesan kelajuan. Jika pemandu sedar ada papan tanda, maka mereka akan perlahankan kenderaan,” katanya.

Terdahulu, seramai 284 peserta berjaya memperoleh lesen dalam program MyPrihatin Parlimen Setiawangsa yang merupakan penganjuran kali ke-3 JPJ Kuala Lumpur, khas buat golongan miskin bandar bagi membolehkan mereka memiliki lesen percubaan B2 secara sah dengan kadar bayaran yang minimum.

-- BERNAMA