1. PAC Parlimen telah membuat keputusan untuk mengadakan prosiding ke atas tiga isu baharu yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) seperti berikut:

(i) Pelaksanaan pertukaran tanah (Land swap) dari tahun 1995 hingga 2018) di bawah Kementerian Pertahanan;
(ii) Pelaksanaan Automated Enforcement System (AES) dari tahun 2012 hingga 2018 di bawah Kementerian Pengangkutan; dan
(iii) Projek Perkhidmatan Sistem 1BestariNet dari tahun 2011 hingga 2019 di bawah Kementerian Pendidikan.

2. PAC Parlimen mendapat taklimat daripada Tan Sri Ambrin Buang, Pengerusi JKSTUPKK dan juga mantan Ketua Audit Negara, pada hari Isnin lalu, 16 November 2020 dengan ketiga-tiga isu di atas. JKSTUPKK yang ditubuhkan Kerajaan pada bulan Mei 2018, adalah bertujuan untuk diberikan mandat oleh Kerajaan untuk menyiasat kes-kes perolehan dan pembelian aset yang mencurigakan oleh kementerian daripada segi penyelewengan, salah guna kuasa atau pembaziran kewangan negara. PAC Parlimen berpendapat terdapat merit dalam ketiga-tiga isu untuk dibawa dalam prosiding Jawatankuasa ini.

3. (i) Land Swap merupakan kaedah membangunkan fasiliti Kementerian Pertahanan dengan dibiayai melalui tukar ganti tanah persekutuan dengan pihak swasta. Ia adalah bertujuan untuk menampung keperluan peruntukan pembangunan yang didapati tidak mencukupi untuk rancangan menaik taraf dan membina baharu kemudahan ketenteraan.

ii) JKSTUPKK telah menjalankan siasatan terhadap 16 kes land swap yang melibatkan 2,923 ekar tanah kerajaan dengan nilai tanah berjumlah RM4.8 bilion. PAC Parlimen dimaklumkan antara isu dalam pelaksanaan kaedah ini adalah berkaitan dengan kerugian Kerajaan akibat daripada kaedah penetapan nilai tanah balasan yang tidak konsisten, serta pertimbangan politik melebihi kepentingan pertahanan.

4. (i) Projek Automated Enforcement System (AES) adalah suatu inisiatif sistem penguatkuasaan dalam menangani isu kemalangan jalan raya di negara ini, melalui pendekatan perception of being caught. Projek AES dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan secara outsourcing.

ii) JKSTUPKK telah membuat siasatan dibuat terhadap kewajaran pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berjumlah RM555 juta terhadap pengambilalihan syarikat konsesi AES yang mana pelaburan asal syarikat itu hanya berjumlah RM40 juta.

5. (i) Projek Perkhidmatan Sistem 1BestariNet telah dilaksanakan Kementerian Pendidikan selama lapan mulai 2011 sehingga 2019 dengan kos berjumlah RM2.71 bilion. Objektif projek ini adalah untuk melengkapkan sebanyak 10,000 sekolah di seluruh negara dengan akses internet berkelajuan tinggi 4G dan pelantar pembelajaran maya (Virtual Learning Enviroment).

(ii) JKSTUPKK melaporkan analisisnya terhadap kelemahan dan kecuaian daripada segi tadbir urus yang menyebabkan objektif projek ini tidak tercapai.

6. PAC Parlimen akan memulakan prosiding terhadap isu Land Swap di bawah Kementerian Pertahanan dengan memanggil saksi pertama iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan selaku Pegawai Pengawal Kementerian bagi memberikan keterangan dan penjelasan isu ini pada 30 November 2020.

7. Selepas daripada prosiding ini, PAC Parlimen akan membuat keputusan sama ada untuk memanggil saksi-saksi lain yang terlibat dalam isu berkenaan.

Sekian, terima kasih.

Wong Kah Woh
Ahli Parlimen Ipoh Timur
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia