Lebih 29 buah sekolah akan ditutup esok (13 September) disebabkan keadaan jerebu yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras yang ditetapkan iaitu 200.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) petang tadi, arahan penutupan tersebut selaras dengan Surat Siaran KPM bilangan 1/2019 yang mana arahan penutupan itu adalah serta-merta.

Penutupan itu dilakukan sehingga keadaan kembali pulih dan catatan IPU di bawah paras 200.

Semua sekolah terlibat turut diingatkan supaya merujuk kepada surat siaran berkaitan perkara tersebut dan mengambil tindakan selaras dengan kenyataan terbabit.

Lebih 24 buah sekolah yang menerima arahan tersebut adalah sekolah-sekolah di daerah Klang manakala lima yang lain adalah membabitkan sekolah-sekolah daripada daerah Kuala Langat.

Pada Khamis, sejumlah lima buah sekolah diarahkan tutup iaitu daripada daerah Klang.

Kesemua sekolah yang diarahkan tutup itu melibatkan jumlah pelajar seramai 45,265 orang.