Sebanyak 300 buah sekolah di Kota Tinggi, Pontian dan Pasir Gudang yang diarahkan bercuti Jumaat lepas akan dibuka semula esok selepas Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terbabit bertambah baik.

Pengarah Pelajaran negeri Mohd Nor A Ghani berkata pejabat pelajaran daerah dan pengurusan sekolah telah diminta memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga supaya 187, 590 pelajar terbabit kembali bersekolah seperti biasa.

Beliau turut menasihatkan pelajar khususnya yang mempunyai penyakit asma atau jantung agar memakai topeng hidung dan mulut.

Walaupun sesi persekolahan dibuka semula, aktiviti di luar kelas masih tidak dibenarkan, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya arahan bercuti bagi 117 sekolah di Kluang dan 175 sekolah di Batu Pahat yang membabitkan 134,872 masih belum ditarik balik.

Arahan tersebut turut dipanjangkan kepada 171 sekolah kebangsaan dan 40 sekolah menengah di daerah Muar dan Ledang membabitkan 76,400 pelajar serta 6,846 guru berikutan pengisytiharan darurat jerebu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.