Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru (PKDJB) sedang memantau perkembangan kes virus Zika di Singapura susulan dua kes baharu dilaporkan di republik itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Penerangan dan Pendidikan Johor Datuk Ayub Rahmat.

Beliau berkata jika kes meningkat, pihaknya akan menambah bilangan penolong pegawai kesihatan persekitaran di kedua-dua pintu masuk antarabangsa darat di negeri ini selain menempatkan pasukan paramedik.

"Kami juga meminta kerjasama pihak Jabatan Imigresen untuk merujuk kes disyaki ke klinik kesihatan selain mengedarkan risalah dan memaparkan mesej berkaitan zika pada paparan digital di pintu masuk," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Ayub berkata pihaknya telah meminta klinik kesihatan di Gelang Patah melakukan pengesanan kes-kes disyaki melalui simptom demam dan konjunktivitis, terutama bagi mereka yang berulang-alik ke Singapura.

Katanya pada masa sama, pencegahan dan kawalan vektor akan terus ditumpukan di lokaliti atau taman perumahan yang ramai penduduknya berulang-alik ke Singapura.

Media Singapura melaporkan kes terbaharu zika itu disahkan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) pada Jumaat dengan jangkitan berlaku di Parry Avenue dalam kawasan Serangoon Garden.

Kedua-dua mangsa merupakan penduduk di kawasan terbabit dan NEA telah memulakan operasi untuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kawasan berkenaan.

--BERNAMA