Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim kini berada dalam keadaan kritikal namun stabil di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Mohd Poad, 48 tahun dimasukkan ke wad pada 24 Disember lalu akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, Mohd Poad terpaksa berada dalam keadaan koma bagi memberikan rawatan kepada paru-parunya.

Jelasnya, doktor akan memberikan rawatan yang terbaik kepada jurulatih Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan.

“Dia sedar pagi tadi sehingga keluarga dan doktor membuat keputusan untuk meletakkan dia dalam keadaan koma untuk memudahkan mereka membuat rawatan paru-paru dan dada dia.

“Kita (MSN) mengharapkan semua rakyat Malaysia mendoakan agar ‘coach’ Poad dapat melalui rintangan getir ini dan kembali seperti biasa.

“Kita berharap beliau dapat membimbing pelari-pelari kita seperti biasa,” katanya ketika ditemui media selepas melawat Poad di HSA di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Shapawi, Mohd Poad bertanggungjawab melatih bakat dan acara pecut dalam program pelapis yang melibatkan junior dan senior di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).