Seorang lelaki ditemui rentung dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Taman Malik, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, mangsa, Roslan Abu Bakar, 56 tahun, yang juga kakitangan Syarikat Air Darul Aman (SADA), ditemui terbakar di depan pintu dalam rumah berkenaan.

Bagaimanapun, isteri dan dua anak mangsa terselamat apabila sempat keluar.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon, pihaknya telah berjaya memadamkan api tersebut.

"Kini, usaha untuk mengeluarkan mayat sedang dilakukan," katanya ketika dihubungi.

Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan.