Hospital Tampin awal pagi tadi menerima satu panggilan ancaman bom di kawasan berkenaan daripada individu yang tidak dikenali.

Namun pemeriksaan yang dibuat oleh beberapa agensi termasuk PDRM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesahkan tiada sebarang bom ditemui dalam kawasan hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius perkara ini kerana telah membahayakan nyawa pesakit dan kakitangan hospital.

"Pihak Kementerian berharap pihak berwajib akan mengambil tindakan yang tegas ke atas mana-mana pihak yang berniat jahat mengganggu atau mensabotaj perkhidmatan di mana-mana fasiliti kesihatan sehingga mengancam keselamatan pesakit dan petugas kesihatan," katanya dalam kenyataan itu.

Semasa kejadian, seramai 90 orang pesakit, termasuk 14 pesakit kritikal, dan 189 kakitangan berada di hospital itu.