Kementerian Kesihatan akan menyediakan sebuah hospital bergerak terletak di Felda Sahabat, Lahad Datu bagi menampung keperluan dan perkhidmatan kesihatan di zon konflik itu.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata hospital bergerak akan memberi perkhidmatan perubatan secara menyeluruh kepada pesakit tanpa mereka perlu menempuh perjalanan jauh untuk ke bandar Lahad Datu.

Katanya perkara itu telah dimaklumkan kepada perdana menteri dan hospital bergerak itu akan beroperasi minggu hadapan.

"Pesakit boleh mendapatkan rawatan perubatan hospital termasuk boleh diwadkan kerana hospital bergerak ini menyediakan katil. Buat masa ini, kita mempunyai khemah sementara yang hanya memuatkan lebih kurang 12 katil. Kita akan hantar khemah yang lebih besar.

"Saya telah arahkan Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Dr Noor Hisham Abdullah) untuk tindakan segera. Kita akan terus memantau keadaan kesihatan di kawasan Lahad Datu," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja dan majlis perasmian Kompleks Pakar dan Rawatan Harian Hospital Kuala Lumpur (SCACC-HKL) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Mengulas mengenai lawatan ke Lahad Datu semalam, beliau berpuas hati dengan perkhidmatan pasukan petugas perubatan yang ditempatkan di pusat penempatan sementara penduduk yang terjejas akibat pencerobohan pengganas di Sabah.

Liow berkata sehingga kini, kawasan penempatan sementara penduduk yang terlibat dengan Operasi Daulat tidak dicemari wabak penyakit berjangkit.

Beliau berkata pihak kementerian sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memastikan kebersihan tandas dan kawasan sekitar pusat pemindahan bagi mengelakkan penyakit seperti denggi dan keracunan makanan.

"Penduduk di kawasan penempatan agak ramai terutama anak-anak kecil dan mereka ini senang dapat penyakit. Wabak penyakit kalau tidak dicegah ia mudah menyerang mereka," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Liow berkata beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah (KP) Kesihatan menjalankan siasatan segera mengenai aduan kecuaian seorang jururawat di Hospital Kota Baharu, Kelantan.

"Kita akan ambil tindakan ke atas mana-mana petugas yang tidak menjalankan tugas mereka dengan tertib. Ini satu aduan dan saya arahkan KP buat siasatan segera. Kita tidak boleh ambil ringan mana-mana aduan. Kita akan beri jawapan kepada ibu bapa bayi itu. Perkara ini serius," katanya.

Semalam, gambar seorang bayi yang dibiarkan berdarah di bahagian kaki tersiar di laman sosial Facebook dan Twitter yang didakwa akibat kecuaian seorang jururawat di Hospital Kota Baharu.