Pemansuhan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) telah menyebabkan harga rumah di Malaysia semakin meningkat, sekaligus menjadi punca kepada peningkatan kadar kemiskinan di bandar dan kenaikan jumlah gelandangan di ibu kota.

Demikian pandangan Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dalam satu temu bual eksklusif bersama akhbar Berita Harian pada Jumaat.

“Dulu kita ada RPGT, masa Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dia buang (mekanisme itu) hingga menyuburkan kegiatan spekulasi. Saya sudah jelaskan apabila kita buat RPGT bukan kerana matlamat meraih hasil cukai, kita tidak mahu harga terlalu tinggi.

“Tapi ada pula yang nasihat (Pak Lah) biar kita dapat cukai lebih banyak, tetapi keadaan itu menyebabkan wujud spekulasi. Bila ada spekulasi orang luar yang beli,” katanya dalam temu bual itu.

Menurutnya lagi, isu utama wujudnya peningkatan jumlah gelandangan di Kuala Lumpur adalah disebabkan masalah ekonomi dan jurang kemiskinan yang besar.

“Semua ini berlaku disebabkan dasar. Kalau silap sedikit ia akan jadi di luar kawalan. Kalau merumus dasar ambil pandangan orang muda sahaja dan tidak tanya langsung orang lama, dengan mudah (dasar itu) boleh silap.

“Menguruskan ekonomi sangat kompleks. Tidak boleh buang ‘mana-mana skru’ sesuka hati. Kita perlu fikir dengan mendalam apa implikasi jangka pendek, sederhana dan panjang,” tambah Tun Daim.

Beliau berpendapat, orang Melayu telah kehilangan bakat dalam pengurusan perniagaan selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan Menteri Kewangan bertindak memberi saham syarikat kepada sekutunya.

“Semua sekutu beliau kaya. Mereka ketika itu fikir senangnya nak kaya, tak payah berniaga. Sokong Anwar, sokong Menteri Kewangan dapat saham. Selepas itu jual, jadi kaya. Orang Melayu tiada lagi bakat dalam pengurusan perniagaan. Mentaliti itulah yang timbul hingga sekarang,” Tun Daim berkata.

Beliau berkata, keadaan kini dimana orang Melayu tidak mampu untuk membeli hartanah di bandar adalah satu situasi yang membimbangkan serta menambah bahawa hanya satu peratus orang Melayu sahaja yang memiliki tanah komersial di bandar.