Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempertikaikan pemberian pangkat tentera oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu kepada beberapa ahli politik dalam satu majlis di Wisma Perwira ATM.

Bekas Menteri Pertahanan itu menegaskan, Mohamad perlu berpegang kepada pendirian dan tidak memberi pengecualian kepada individu yang berjawatan tertentu.

"Tak sampai seminggu masuk tahun baharu, Menteri Pertahanan dah mungkir janji lagi? Sebelum ni, bukan main tegas lagi Mohammad Sabu kata tidak akan ada lagi pangkat tentera untuk orang politik.

"Habis, ini apa? Menteri Besar Negeri Sembilan bukan orang politik ke? Julai 2019 hari tu, Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Melaka pun dipakaikan pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat).

"Sepatutnya, kalau betul tak nak bagi, berpeganglah kepada pendirian. Kenapa pula mesti ada pengecualian dan keistimewaan kepada orang yang berjawatan tertentu. Takkanlah hanya kerana orang ini ialah penaung kepada Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW), terus dibolehkan?" soalnya.

Hishammuddin berkata demikian dalam catatan terbaharu di laman Facebook rasmi miliknya, pada Isnin.

Beliau mengulas catatan di laman Facebook Mohamad yang melaporkan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat dan Tauliah Kehormat Askar Wataniah yang diadakan di Wisma Perwira ATM.

Antara yang menerima tauliah kehormat ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik.

Selain itu, Penasihat Ketenteraan Menteri Pertahanan, Norrul Azril Ariffin turut memakai pangkat Brigadier Jeneral.

Pada April tahun lepas, Mohamad menegaskan, tiada lagi amalan pemberian dan pengurniaan pangkat kehormat serta pemakaian seragam tentera kepada ahli politik termasuk golongan selebriti.

Jelasnya, ia dihentikan bagi menghormati jasa serta pengorbanan tentera yang bersusah payah berkhidmat dan mengelak pangkat serta gelaran itu direndahkan.

Mohamad sebelum ini juga memberitahu, ia bagi menghalang ahli politik menyalahgunakan pangkat tersebut untuk masuk ke kem tentera dan membuat kempen politik terutama ketika Piilihan Raya Umum (PRU).