Pusat bagi Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) memuji pendirian kerajaan Pakatan Harapan untuk tidak membalas dendam tetapi sebaliknya memulihkan kedaulatan undang-undang.

Ketua Pegawai Eksekutif CENTHRA Azril Mohd Amin dalam satu kenyataan berkata persatuan masyarakat sivil itu mengalu-alukan pendirian yang diambil oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Pakatan Harapan.

"Ini mesti diteruskan sebagai asas inisiatif kerajaan untuk menegakkan hak asasi manusia tanpa gentar atau pilih kasih. CENTHRA ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia kerana menunaikan hak mereka secara demokratik dan bersama-sama menentukan arah masa depan negara.

"Kepada tokoh yang baru dilantik tetapi sudah tidak asing dan pernah menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad: selamat kembali," kata beliau.

Dr Mahathir, 92, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh berikutan kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14. Beliau telah berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun di bawah Barisan Nasional sebelum meletak jawatan pada 2003.

Azril juga berkata CENTHRA mengalu-alukan pembentukan kerajaan dinamik yang mencerminkan masyarakat Malaysia yang majmuk yang semua pandangan boleh didengar dan diwakili mengikut reprentasi.

Beliau berkata CENTHRA menyambut baik bahawa pentadbiran baharu akan mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan Malaysia dalam menentukan peranannya di rantau ini dan di dunia, dan berkaitan pendekatannya terhadap isu-isu domestik.

Pilihan raya pada Rabu mengesdahkan keupayaan rakyat Malaysia menerajui negara di landasan yang terbaik ke arah kemajuan, kemakmuran dan keamanan sambil berharap kerajaan baharu akan meneruskan pendekatan yang lebih seimbang terhadap hal ehwal domestik, lebih telus, dan tidak dapat ditembusi oleh agenda luar.

"Kita telah melihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, percubaan oleh kumpulan-kumpulan segmen minoriti untuk melaksanakan agenda mereka dengan mengenepikan proses demokrasi tanpa menghiraukan pandangan komuniti yang lebih luas.

"Tetapi 9 Mei membuktikan bahawa setiap kawasan dalam masyarakat Malaysia mempunyai suara yang boleh menggunakan mekanisme demokrasi yang tersedia untuk semua; dan kesepakatan masyarakat yang dicapai secara demokratik harus dihormati oleh semua," kata beliau.

-- BERNAMA