Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, falsafah ekonomi pentadbiran sekarang lebih menjurus kepada mengecilkan jurang antara yang miskin dengan yang kaya.

Dr Mahathir berkata jika jurang itu tidak ditangani sebaiknya, ia boleh membawa kepada kesan buruk termasuk konflik seperti yang berlaku dalam Revolusi Perancis dan Rusia.

"Seboleh-bolehnya kita ingin layan semua anggota rakyat, bangsa atau kaum sama seperti yang lain, tidak ada perbezaan.

"Hakikatnya ialah pencapaian mereka di waktu ini tidak sama. Kalau kita tidak beri tekanan kepada usaha untuk mengurangkan jarak antara yang miskin dan yang kaya, keadaan akan jadi lebih buruk," katanya.



Tambah beliau, amat penting untuk kerajaan berusaha mengurangkan jarak antara yang miskin dan kaya dan jurang antara satu kaum atau agama dengan kaum atau agama yang lain.

"Kalau kita kurangkan (jurang), maka potensi untuk konflik akan berkurangan. Bahkan, peluang terdapat kepada mereka yang lemah untuk naik ke peringkat lebih tinggi.

"Dan itu sahaja, mengurangkan jarak antara mereka dan yang lebih berjaya, bahkan memberi pengalaman, pengetahuan, kebijaksanaan kepada mereka untuk bersaing dengan orang yang terdahulu daripada mereka," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam Program Bicara Khas TV1 RTM pada Isnin malam.