Rekod kerajaan dalam meningkatkan martabat serta keterlibatan wanita dalam sektor kerajaan dan swasta adalah sangat baik, namun itu tidak bermakna kerajaan boleh berpuas hati, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tegasnya, kerajaan sentiasa beriltizam dalam memastikan tahap pencapaian kaum wanita di negara ini dapat dimajukan dengan berterusan, termasuk mengiktiraf tahun 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita.

Katanya lagi, jika negara tidak menunjukkan komitmen dalam memperkasakan wanita, serta mengenepikan kaum itu, negara berkenaan tidak mungkin akan berjaya.

“Sebab itulah kita ingin melihat melalui peranan kita memperkasakan wanita, lebih-lebih lagi pada tahun ini, maka wanita akan dapat peluang lebih, mendapat ilmu semakin meluas dan akan dibabitkan secara lebih menyeluruh dalam proses membuat keputusan sama ada dalam sektor awam atau swasta," katanya lagi.

Perdana Menteri berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Logo dan Branding Tahun Memperkasa Wanita 2018 (TMW18) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, menteri-menteri kabinet yang lain serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Berucap lanjut, Datuk Seri Najib berkata, peranan wanita dilihat semakin penting selari dengan perkembangan era globalisasi serta Revolusi Industri 4.0.

Katanya, untuk tujuan itu, beberapa program telah dirancang untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini, antaranya, Celik Pelaburan, ‘Malaysia Women Made’, Impact for Humanity, dan Program Revolusi 4.0.

“Saya yakin dan percaya jika semua program ini dilaksanakan sepenuhnya kita akan dapat menyaksikan peningkatan wanita dalam konteks arus pembangunan negara,” katanya lagi.