Kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa pasukan petugas khas yang akan menilai isu berkaitan sistem monopoli dalam pemberian tender kerajaan.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata selain kementeriannya, dua lagi kementerian lain iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Pengangkutan turut menyertai jawatankuasa itu.
Ujarnya, jawatankuasa itu diketuai oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Isu monopoli ini bukan sahaja dibangkitkan oleh kementerian saya, tetapi juga dua kementerian lain.
Di mana satu kajian menyeluruh berkaitan polisi perolehan dan monopoli ini akan dibuat kajian semula.
“Ini supaya dapat dirumuskan satu pendekatan paling baik berkaitan tadbir urus untuk mendapatkan nilai untuk wang.
“Perkara ini bukan sesuatu yang mudah kerana akan bersangkut dengan polisi dan peruntukan Bumiputera dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai dakwaan kononnya terdapat sebuah syarikat memiliki monopoli ke atas bekalan ubat-ubatan di negara ini.
Isu berkenaan didedahkan sebuah portal minggu lalu yang mendakwa syarikat yang dikaitkan dengan ahli politik rapat dengan kerajaan dahulu mengawal bekalan ubat bernilai berbilion ringgit.
Tambah Dr Dzulkefly, perkara tersebut adalah dalam kajian dan di mana beliau tidak boleh memberi apa-apa unjuran terlebih dahulu.
Bagaimanapun, tegasnya perkara tersebut akan diteliti secara menyeluruh.