Kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Indonesia telah menghasilkan lebih banyak kawalan keselamatan di kawasan sempadan antara kedua negara, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Mohamad berkata, hasil Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Malaysia-Indonesia ke-41 yang diadakan di Bali baru-baru ini telah sepakat untuk menambah pos pengawasan dan kawalan keselamatan bersama di Laut Sulu.

Selain itu, beliau juga menjelaskan Mesyuarat GBC Malindo ke-41 di Kuta, Bali baru-baru ini telah memperkukuhkan lagi kerjasama antara Malaysia dan Indonesia.

“Mesyuarat GBC ke-41 Malaysia dan Indonesia ini adalah dua negara sahabat, serumpun, sebangsa, jadi kita selesaikan masalah apa yang timbul melalui perundingan," katanya kepada portal Indonesia Detik.com usai mesyuarat tersebut baru-baru ini.

Beliau juga menjelaskan angkatan tentera Malaysia dan Indonesia akan mengadakan latihan bersama bagi meningkatkan lagi kerjasama.

Mohamad juga menjelaskan hubungan antara kedua negara semakin harmonis mutakhir ini.

Dalam temubual bersama portal Detik.com itu juga, Mohamad melahirkan rasa kagumnya terhadap perkembangan industri pertahanan Indonesia.

Malah beliau mencadangkan agar negara-negara ASEAN agar mengeluarkan senjata sendiri dan tidak perlu mengimport dari negara barat.

“Kita tidak mahu negara menjadi pengimport semata-mata, kalau kita boleh buat sendiri kapal-kapal ronda, kapal perang, dan sebagainya.

“Bukan kita mahu berperang, tetapi daripada kita beli di negara luar, lebih baik dibeli dari kalangan negara ASEAN. Kalau ada pertukaran wang pun, cuma di kalangan negara ASEAN,” katanya lagi.