Perbicaraan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dihadapkan atas tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International masuk hari ke-30.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali diteruskan hari ini dengan saksi ke-42 bekas Pengarah Bukan Eksekutif SRC, Datuk Suboh Md Yassin menyambung memberi keterangan.

Suboh memberitahu mahkamah bahawa beliau dihubungi bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil dari Shanghai China, pada tahun 2015.

Bekas pengarah SRC International itu menjelaskan beliau mengetahui panggilan itu dari Shanghai berdasarkan apa yang dilihat menerusi telefon pintar miliknya.

Suboh memberitahu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff bahawa Nik Faisal menghubunginya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lepas.

"Berdasarkan telefon saya, ia dari luar negara, dari Shanghai, jika saya tidak silap," katanya kepada Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa SRC International melantik Ihsan Perdana Sdn Bhd sebagai rakan kongsi tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada tahun 2014 walaupun tanpa resolusi daripada pengarah.

Suboh berkata beliau bersetuju menandatangani surat tersebut untuk melantik IPSB bertarikh 3 September 2014 selepas diberi panduan oleh Nik Faisal.

Suboh berkata Nik Faisal memberitahunya bahawa syarikat itu mahu melaksanakan CSR dan "orang atas" bersetuju.

Ketika disoal siapakah “orang atas” yang beliau maksudkan dalam keterangannya, Suboh berkata ia adalah Najib.

"Tiada keraguan dalam fikiran saya, apabila merujuk kepada orang atas, beliau merujuk kepada Datuk Seri Najib," kata Suboh.

Suboh kemudian memberitahu mahkamah bahawa pelantikan IPSB ditandatangani pada tahun 2015 ketika beliau berada di Bangkok.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.