"Besar nanti, Kak Long nak jadi anggota bomba!"

Demikian kata-kata penuh bersemangat daripada si cilik Noor Arisya Balqis Mohd Suhale, 9 tahun, kepada ibunya.

Balqis, yang datang ditemani keluarganya, mencuri tumpuan mereka yang hadir dalam Perbarisan Tahunan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Perak 2018, di sini pada Selasa.

Tampak bersahaja, siapa sangka kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia lapan tahun telah menyelamatkan tiga adiknya dalam satu kebakaran rumah pada 14 Sept tahun lepas.

Keberanian malah kepekaannya terhadap bahaya kebakaran itu juga telah mendapat perhatian meluas dan dianugerahkan sijil penghargaan 'Wira Cilik' sempena majlis berkenaan.

Lengkap berpakaian seragam sekolah, Balqis yang kini merupakan murid Tahun Tiga SK Sultan Idris 2, Teluk Intan itu berkata, keberaniannya timbul kerana memikirkan keselamatan adik-adiknya yang masih kecil.

"Mak ayah masa itu tiada di rumah. Bila saya nampak asap masa itu, saya hanya fikirkan adik-adik sahaja.

"Nasiblah saya dapat selamatkan mereka. Itu pesan mak ayah masa keluar rumah hari itu, untuk jaga adik-adik," katanya ketika mengingat kembali tragedi yang hampir mengorbankan empat beradik kecil tersebut.

Sementara itu, ibunya, Noor Shahira Nordin, 32, berkata, selepas kejadian itu, Balqis berada dalam keadaan terkejut namun kembali seperti biasa selepas beberapa hari.

Katanya, Balqis memang seorang anak yang bertanggungjawab dan boleh diharap untuk menjaga adik-adiknya yang lain.

"Ini merupakan pengiktirafan kedua diterima Balqis. Tahun lalu Jabatan Pendidikan Negeri juga berikan sijil penghargaan, kami sangat bangga dengan anak sulung kami," katanya kepada Astro AWANI.

Kebakaran jam 2 pagi pada 14 Sept lalu berlaku ketika Balqis, bersama tiga adik perempuannya masing-masing berusia 6, 4, dan lapan bulan, tidur di ruang tamu rumah mereka di Kampung Attaduri, Langkap sementara ibunya menghantar suaminya ke tempat kerja.

Balqis yang terhidu bau asap dan merasa bahang segera meninjau keadaan rumah sebelum melihat api dari arah dapur.

Setelah usahanya memadam api itu gagal, dia segera mengejutkan adiknya dan dalam keadaan berpimpin tangan sambil sebelah tangan mengendong adik bongsu, mereka berlari keluar dari rumah itu.

Kegigihan Balqis tidak terhenti di situ, apabila dia berusaha pula mengejutkan jirannya berkali-kali dengan mengetuk pintu rumah dengan kuat bagi memaklumkan kejadian itu.

Dalam pada itu, Pengarah JBPM negeri, Datuk Yahaya Madis berkata, sikap ditunjukkan Balqis boleh dijadikan contoh bukan sahaja kepada kanak-kanak tetapi golongan dewasa juga.

"Kita sendiri bila berdepan situasi seperti ini, belum tentu dapat lakukan sepertimana adik Balqis buat, dia mempunyai kepekaan yang tinggi terhadap situasi mengancam nyawa hingga mampu menyelamatkan adik-adiknya. Sikap ini harus dipuji," katanya.