Sebanyak 28 kes positif COVID-19 baharu direkodkan dalam kluster Pedas di Negeri Sembilan menjadikan jumlah kes positif dalam kluster tersebut adalah 88 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan, kes positif ini melibatkan 81 kes bukan warganegara.

Daripada jumlah itu, 33 kes adalah warga Nepal, 26 kes warga Bangladesh, 11 kes warga Indonesia dan 11 kes warga Myanmar.

Punca jangkitan bagi kluster ini masih di dalam siasatan.

BACA: Kluster Pedas jangkiti 60 individu setakat ini - KKM

Semalam, KKM mengesahkan 60 individu sudah dijangkiti COVID-19 dalam kluster Pedas, iaitu melibatkan warga pekerja sebuah kilang di mukim itu yang dikesan sejak 2 Mei lalu.

Kluster itu mula dikesan apabila seorang kakitangan kilang didapati tidak sihat dan mula mengalami gejala demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit kepala pada 5 April.