Kos sara hidup yang tinggi merupakan antara faktor bilangan guru di tiga daerah seperti Johor Bahru, Pasir Gudang dan Shah Alam merekodkan angka terendah di negara ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, faktor itu merupakan alasan para guru memohon untuk berpindah ke negeri lain selepas beberapa tahun berkhidmat.

“Faktor kos sara hidup yang tinggi merupakan alasan para guru ini memohon untuk berpindah. Sebagai contoh di Johor Bahru kos sara hidup agak tinggi, begitu juga di Pasir Gudang.

“Jadi pihak kementerian sedang meneliti bagaimana penyelesaian terbaik supaya guru-guru luar ini tidak meninggalkan tiga daerah ini. Mungkin ada beberapa inisiatif yang akan diusahakan tetapi dalam peringkat kajian lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Penyampaian Sijil Siap Kerja bagi pembinaan Sekolah Daif Fasa Satu 2018 di Sekolah Kebangsaan Simpang Renggamm, Johor.


Pada masa sama, Maszlee menjelaskan kementeriannya akan terus menggalakkan latihan dalam perkhidmatan untuk meningkatkan kualiti para guru.

Kementerian juga katanya, akan menggandakan usaha memastikan sekolah daif yang telah diberikan projek untuyk segera disiapkan.

Sebanyak 120 sekolah daif iaitu 30 buah sekolah masing-masing di Sarawak dan Sabah serta 60 lagi di Semenanjung yang dijadualkan dinaik taraf.

Sehingga kini, 28 sekolah daif dilaporkan siap sepenuhnya iaitu 20 di Johor dan masing-masing empat di Sabah dan Sarawak.