Selain Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun yang dilantik sebagai pengerusi baharu Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkuat-kuasa 1 Mei lalu, agensi berkenaan pada Jumaat turut mengumumkan pelantikan Dr Maszlee Malik sebagai Pengerusi Jawantankuasa Penasihat Mara Corp.

Menyertai Ahli Parlimen Simpang Renggam itu ialah empat ahli yang terdiri dari Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, Datuk Ab Rakib Ahmad, Datuk Ahri Hashim dan Dr. Shahridan Faiez.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, seramai tujuh lain orang juga telah dilantik sebagai Ahli majlis Mara yang baharu berkuatkuasa 15 Mei ini.

Kesemua tujuh orang yang dilantik itu ialah Prof. Datuk Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha, Datuk Siti Zauyah Md Desa, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi, Datuk Jamelah Jamaluddin, Zainal Abidin Kidam, Datuk Sr. Md Alwi Che Ahmad dan Datuk Nor Azri Zulfakar.

"Pihak kementerian yakin kesemua Ahli Majlis Mara yang dilantik mempunyai ketokohan, keupayaan, kepakaran dan pengalaman yang luas serta menjiwai semangat perjuangan Mara dalam membangunkan Bumiputera," katanya.

BACA: Azizah Dun dilantik Pengerusi Mara baharu

Selain Ahli Majlis Mara, Kementerian Pembangunan Luar Bandar turut mengumumkan pelantikan Datuk Dr. Syed Muhamad Syed Kadir sebagai Pengerusi Mara Corporation Sdn. Bhd. (Mara Corp.).

Mara Corp akan dibantu oleh Jawatankuasa Penasihat yang dipengerusikan oleh Maszlee bagi memastikan Mara Corp berperanan seperti mana yang dihasratkan.

"Kementerian juga sedang mengenal pasti individu yang berpengalaman luas dalam bidang korporat dan berintegriti untuk menerajui Mara Corp. melalui iklan kekosongan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Mara Corp. yang akan dikeluarkan pada waktu terdekat," katanya lagi.

Sementara itu, Datuk Abdul Halim Mansor pula dilantik sebagai Pengerusi GIATMARA.