Kerajaan memberi jaminan untuk melakukan segala yang terdaya dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Korea Utara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, fokus utama ialah memastikan mereka pulang ke tanah air dengan selamat.

"Saya faham perasaan dan kebimbangan keluarga serta kenalan rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara," katanya dalam catatan di blog najibrazak.com pada Selasa.

Beliau yang kembali dari lawatan kerja di Jakarta pada 5.40 petang Selasa telah mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan larangan rakyat Malaysia di Korea Utara daripada meninggalkan negara komunis tersebut.

Mesyuarat berlangsung selama lebih kurang 45 minit. Intipati mesyuarat dikongsi bersama pihak media yang mula berkumpul di PengkalanTentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) di Subang Jaya seawal 3 petang tadi.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Hubungan Malaysia-Korea Utara semakin memuncak

Tambanya, beliau telah diberikan maklumat terperinci mengenai situasi semasa yang berlaku ketika ini.

Antara yang hadir pada mesyuarat tergempar tersebut termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Awal Selasa, Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata 11 rakyat Malaysia, termasuk dua peserta Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) kini masih di Korea Utara dan dalam keadaan selamat.

Mereka yang lain terdiri daripada tiga pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia serta enam anggota keluarga mereka.